Thursday 28 April 2011

MINGGU BAHASA MELAYU 2011(SESI PAGI)

Pelajar sedang mengacarakan majlis sempena Perasmian Minggu Bahasa Melayu 2011
5 Kenanga sedang membuat persembahan
Cik Rozinah , PK Tadbir & Kurikulum menyampaikan ucapan perasmian

 
Persembahan pelajar 5 Anggerik sempena perasmian Minggu Bahasa

Pelajar 5 Bakawali menjawab Teka Silangkata sempena Minggu Bahasa
Cik Fauziah, Pn.Nor Fazillay, dan Pn.Zalida guru penyelaras aktiviti Minggu Bahasa Melayu 2011
5 Kenanga sedang membuat persembahan sempena Pertandingan Lagu Berirama
Peserta yang terlibat dalam aktiviti pertandingan Minggu Bahasa
Hakim pertandingan terpegun melihat aksi peserta

Wednesday 27 April 2011

PERBINCANGAN KARANGAN SPM

Tajuk: Negara maju acuan Malaysia memerlukan rakyat yang:
·         Bersatu padu
·         Berakhlak mulia
·         Berilmu pengetahuan
·         Bersemangat patriotik
·         Berpegang teguh kepada ajaran agama

Berikan ulasan anda.

Tanggal 21 Februari 1991, bertempat di perasmian Majlis Perdagangan Malaysia, tercatatlah satu lagi peristiwa dalam lembaran Hari Ini Dalam Sejarah. Peristiwa penting itu ialah Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu Dato Seri Dr Mahathir Mohamad telah meuar-uarkan satu ilham yang begitu pragmatik iaitu WAWASAN 2020.  Gagasan yang mempunyai sembilan mekanisme cabaran itu menjadi acuan utama ke arah membentuk negara dan rakyat Malaysia yang progresif, berdaya saing, berilmu pengetahuan, dan mempunyai daya tahan yang tinggi bagi menghadapi era maju menjelang abad ke-21.  Antara intipati daripada sembilan cabaran itu adalah untuk membentuk sebuah negara maju dalam acuan Malaysia iaitu negara dengan rakyat yang bersatu padu, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bersemangat patriotik dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Sesungguhnya, saya amat bersetuju kelima-lima unsur ini sudah pasti menjadi cabaran besar untuk kita galas jikalau mahukan negara tercinta ini bertukar wajah menjadi negara maju seperti yang dicita-citakan.  Oleh itu, bersama-samalah kita menggemblengkan tenaga dan fikiran untuk merealisasikan gagasan tersebut.

Peribahasa Melayu ada menyatakan, bersatu teguh, bercerai roboh dan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.  Hal demikian menjelaskan, bahawa kehidupan kita sebagai suatu bangsa Malaysia menuntut kepada suasana ukhuwah dan bersatu padu.  Bersatu padu dalam konteks rakyat Malaysia membawa maksud hidup dalam suasana aman, harmoni, bertolak ansur, dan bekerjasama dalam masyarakat majmuk.  Suasana tersebut amatlah penting bagi mengelak berulang semula tragedi-tragedi ngeri yang menumpahkan darah seperti Peristiwa 13 Mei 1969 dan pergaduhan antara kaum di Kampung Medan pada tahun 2000.  Peristiwa-peristiwa seumpama itu sesungguhnya akan menebalkan lagi rasa syak wasangka dan turut memperdalam jurang ketegangan antara kaum.  Sepatutnya kita mesti menerima hakikat bahawa kita ditakdirkan hidup dalam pelbagai etnik dengan pelbagai ragam budaya.  Warasnya, atas rasa cinta kepada nusa dan demi mengidami keamanan kita hendaklah menjelmakan satu semangat bersatu dengan slogan, “Negara Kita Tanggungjawab Kita.” 

Imam al-Ghazali pernah menyatakan, ‘Apabila kamu hendak mengenal wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenal diri (peribadi) bercerminlah pada wajah.”  Kata-kata tersebut memberikan gambaran betapa keperibadian dan akhlak yang mulia akan menjadi pengukur tinggi atau rendah harga diri setiap individu.  Sejajar dengannya, setiap rakyat perlulah menonjolkan suatu imej yang terpuji dengan ,mengamlkan akhlak yang mulia.  Akhlak mulia merupakan intisari kepada nilai-nilai murni yang sejagat dan amat dituntut sama ada dari sudut budaya dan peradaban malahan dituntut di sisi agama juga.  Nilai tersebut bermatlamat membentuk insan yang seimbang dalam aspek mental, emosi, intelek, dan jasmani.  Dengan terbentuknya nilai-nilai tersebut, justeru akan lahirlah warga Malaysia yang berhati mulia, bersopan-santun, dan hormat-menghormati.  Falsafah hidup yang bertunjangkan prinsip-prinsip akhlak seperti ini sudah pasti dapat mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia di samping memantulkan imej masyarakat Timur yang begitu terkenal dengan peradaban yang tinggi.  Oleh yang demikian, jadikanlah budi bahasa sebagai cerminan imej dan nilai budaya masyarakat Malaysia.

Apabila tamadun dunia melangkah masuk ke abad Millenium, tuntutan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan pasti menjadi wahana yang penting dan perlu dikuasai oleh setiap warganegara.  Dengan itu, acuan rakyat Malaysia perlu seiring dengan matlamat membentuk rakyat yang berilmu pengetahuan.  Rakyat yang berilmu pengetahuan ialah rakyat yang bijaksana dengan menguasai segala bidang ilmu sama ada dalam bidang sains dan teknologi dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ketamadunan, agama, dan kemanusiaan.  Langkah ini amatlah pragmatik dalam usaha mewujudkan suatu rupa bangsa Malaysia yang bijak, pintar, mahir, dan menguasai teknologi.  Penguasaan ilmu dalam bidang sains dan teknologi hendaklah menjadi agenda penting negara kerana ilmu tersebut menjadi aset negara berkembang maju dalam aspek fizikal, prasarana, dan pertumbuhan ekonomi yang pesat.  Manakala ilmu-ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai keinsanan pula bermatlamat membentuk rakyat yang mempunyai nilai-nilai murni seperti berjiwa patriotik,  bersopan santun, bertolak ansur dan bersatu padu.  Dengan komponen kedua-dua bidang ilmu tersebut, kita amatlah berharap matlamat WW 2020 akan berjejak di bumi nyata setelah rakyat telah sarat dengan ilmu pengetahuan.

Tokoh nasionalisme Filipina yang terulung, Jose Rizal pernah menyatakan, “Tuhanku, sekiranya aku mati dalam perjuangan ini, biarlah tubuh dan darahku bersemadi menjadi tanah, namun harga perjuanganku akan kuabadikan untuk rakyat Filipina.”  Demikianlah sebuah percaturan hidup dan mati daripada seorang tokoh patriotik atas cintanya terhadap tanah air.  Demi mempertahankan keutuhan dan kedaulatan negara setiap rakyat hendaklah berjiwa patriotik. Semangat tersebut dapat menjanakan jati diri bangsa yang bersemangat waja, cinta akan tanah air, dan rela berkorban demi kedaulatan negara.  Oleh yang demikian, strategi yang paling berkesan adalah dengan menyemaikan semangat patriotisme kepada generasi muda semasa mereka dalam alam persekolahan lagi.  Subjek-subjek yang berkaitan dengan kenegaraan seperti sejarah, pendidikan moral, agama, bahasa dan kesusasteraan perlulah diajar kepada para pelajar.  Selain itu, nilai-nilai hidup bersama dan setia kawan perlulah dipupuk dalam aktiviti kokurikulum dan sukan.  Seandainya, masyarakat Jepun begitu berbangga dengan nilai ‘kaizen’ dan masyarakat Cina dengan nilai ‘kiasu’ mereka, justeru  rakyat Malaysia pula mesti  kuat berpegang dengan falsafah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Strategi seterusnya ialah menyemaikan sifat-sifat taat dan taqwa (patuh) kepada pencipta dengan berpegang teguh kepadaa ajaran agama.  Dengan kesegaran jiwa agama kita dapat membentuk insan syumul yang sentiasa patuh kepada Tuhannya dan setia kepada negara serta pemimpin.  Walaupun rakyat Malaysia bebas menganut agama dan kepercayaan masing-masing, namun kita yakin setiap agama tidak pernah mengajarkan nilai-nilai negatif yang boleh memesongkan penganutnya.  Dengan hal yang demikian, ibu bapa adalah bertanggungjawab untuk menanamkan nilai-nilai benar dan beriman yang terdapat dalam doktrin agama masing-masing.  Insan yang beragama seyogianya akan menjadi insan yang bertanggungjawab, beriman, berakhlak, sentiasa bersyukur serta lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, negara, dan agama.  Bagi memastikan amanah ini terlaksna dengan sebaik mungkin ambillah agama dan moral sebagai landasan hidup kerana “Sebaik-baik manusia dilihat atas agama yang diamalinya”.

Mafhum (maksud) daripada sepotong ayat suci al-Quran yang menyatakan bahawa, “Sesungguhnya, Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubahnya.”  Hal tersebut memberi suatu isyarat bahawa maju atau mundur dan senang atau susah hidup kita amatlah bergantung kepada diri kita sendiri.  Demi mencapai matlamat murni itu kita perlu berusaha gigih dari sekarang dan kita juga perlu ingat kepada slogan, “Negara Kita Tanggungjawab Kita”.

AKTIVIT MINGGU BAHASA MELAYU 2011


Pemenang menerima hamper daripada Puan Mashitah

Pn.Mashitah menyampaikan hadiah kepada pemenang aktiviti
 
Salah seorang pemenang aktiviti Minggu Bahasa


Wednesday 20 April 2011

LATI TUBI TATABAHASA TINGKATAN 5

Tukarkan ayat di bawah kepada ayat songsang
1. Kami pergi ke Zoo negara pada cuti semester yang lalu
2. Adik tiba di Kuala Lumpur semalam
3. Saya akan membeli rumah itu jika ada wang.
4. Saya pergi ke kedai menaiki basikal
5. encik Kamal baru membeli kereta
6. Saya tidak pernah pergi ke Kuala Lumpur
7. Dia akan mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan
8. mereka berkhemah di Pantai Teluk Batik selama tiga hari
9. Sekolah itu baru dibina tahun lalu
10. beg itu diletakkan di atas meja
11. negeri Terengganu kaya dengan petroleum
12. Pelajar lelaki menyusun meja dan kerusi di dewan itu.
13. Zainab berpindah ke kampung itu pada tahun lepas.
14. Azhar ke kedai basikal
15. Chong sangat rajin
16. lembu itu sudah mati
17. buah manggis itu sungguh manis
18. ibunya kerani mahkamah

Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif

1. Ayah menanam sampah-sarap yang ada di belakang rumah untuk mengelakkan pembiakan nyamuk.
2. Saya sudah menyelesaikan latihan yang diberi oleh guru Matematik
3. Awang belum memutuskan perkara tersebut sehingga kini.
4. Encik Maniam menyiram pokok bunga itu
5. mereka menyusn batu bata yang berslerakan itu
6. Kim Moi melepaskan burung di dalam sangkar itu
7. dia menjaringkan gol kemenangan
8. kami yang melukis garisan di padang
9. kita harus mencintai Negara kita
10. adik memasukkan barang mainan ke dalam bakul
11. mereka menentang keputusan mesyuarat itu
12. pengarang yang terkenal menulis buku itu
13. saya membeli buku itu di kedai Pak Samad


Tukarkan ayat di bawah kepada ayat aktif.
1. Undang-undang negara mestilah kamu patuhi agar hidup kita lebih aman
2. Minuman yang terletak di atas meja itu telah diminum oleh adik
3. Penculik kanak-kanak itu telah ditangkap oleh polis pada pagi tadi
4. Mereka ke sekolah dengan menaiki bas
5. Kakak mencuci pakaian kotor di bilik air
6. Ayah memarahi Kamal kerana pulang rumah jauh malam


Buat ayat daripada peribahasa ini
1. seperti ayam berak kapur
2. jangan meludah ke langit
3. harimau mati meninggalkan belang , manusia mati meninggalkan nama
4. muka berconteng arang
5. harapkan pagar , pagar makan padi

KARANGAN PMR 2011 (FOKUS 2011)

Sebagai wartawan sebuah majalah sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk “Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara”.
Tulis rencana itu selengkapnya.

Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan NegaraOleh: Mohd Shahir Mohd Shah

Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara “sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara!”

ANALISISI KARANGAN BAHAGIAN B ( RANGSANGAN )

2005 – Gambar tunggal ( isu kitar semula )
2006 – Peta minda – kebaikan gotong royong
2007 – Gambar bersiri – Pesta Flora
2008 – Peta minda – kesan banjir
2009 – Carta aliran – cara-cara mengatasi kesesakan jalan raya
2010 – Peta minda – Kesan-kesan kegiatan pembalakan secara tidak terkawal

ANALISIS TEKS KOMSAS (SOALAN 30-40 KERTAS 1)

GENRE

PUISI TRADISIONAL

TINGKATAN 1

  1. pantun dua kerat – 2008
  2. pantun budi
  3. pantun kanak-kanak
  4. Syair Badrul Zaman
  5. Syair Ken Tambuhan Syair Menyambut Pelajaran ( 2006 )
TINGKATAN 2

  1. Pantun Perpisahan
  2. Pantun Joget Pahang
  3. Pantun Teka Teki
  4. Syair Pesan Ibu
  5. Syair Nur Alam Lela Putera
  6. Syair Mungir Janji
TINGKATAN 3

  1. Pantun Budi
  2. Pantun Nasib – 2010
  3. Pantun Peribahasa
  4. Syair Yatim Nestapa
  5. Syair Cintai Alam Sekitar
  6. Syair Tenaga Pemuda
SAJAK

TINGKATAN 1

  1. negeri Tercinta
  2. Seorang Guru Tua – 2009
  3. Surat dari Kampus
  4. Puisi Buat Mama
  5. Tasik Biru Bau, Sarawak
  6. Burung Tempua – 2003
TINGKATAN 2

  1. Mata ayah
  2. Seuntai Kata untuk Dirasa
  3. Bicara Buat Guru – 2004
  4. Pesan Tangan Kepada Jari – 2005
  5. Cinta
  6. Ruang
TINGKATAN 3

  1. Rumah Baru
  2. Bahasa
  3. Bila Berjauhan – 2007
  4. Wanita Zaman Ini
  5. Ketika Kami Bercerita Tentangnya – 2002
  6. Usia
PROSA TRADISIONAL

TINGKATAN 1

  1. Lebai Malang
  2. Tujuh Puteri Turun ke Dunia
  3. Susur Galur Asal Usul Negeri Melaka
  4. Keberanian Lima Bersaudara – 2002
TINGKATAN 2

  1. Pak Kaduk
  2. Putera Besar Lahir ke Dunia - 2003
  3. Puteri Buluh Betong
  4. Cerita Kera dengan Buaya
TINGKATAN 3

  1. Pak Belalang
  2. Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari
  3. Raja Bersiung ( 2004 , 2009 )
  4. Patung Kencana dari Kuripan
CERPEN

TINGKATAN 1

  1. Hadiah Hari Guru
  2. Gema Menggegar Kota
  3. Diari Seorang Pengawas
  4. Makmal ZNF
  5. Sehijau Warna Daun
  6. Pak Su
TINGKATAN 2

  1. Tina
  2. Batu
  3. Buku Catatan Farid Badrul
  4. Mama – 2002
  5. Erti Kasih Makna Sayang
  6. Tangan Kanan , Kiri atau Kedua-duanya – 2007
TINGKATAN 3

  1. Sayang Ayah
  2. Pertemuan
  3. Dugong – 2003
  4. Hikayat Mat Jenin
  5. Rahsia
  6. Anak Bumi Tercinta – 2005
CATATAN: KOMSAS YANG BERWARNA MERAH DAH KELUAR DALAM PMR

LATIHAN PERIBAHASA SPM

PERIBAHASA
Bahagian peribahasa SPM biasanya berkisar pada beberapa bentuk soalan. Hal ini dinyatakan di bawah:
A. Membina ayat daripada peribahasa:Contoh:
1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka dewasa.


2. seperti katak di bawah tempurung
Sikap Ng Khai Liang yang sukar menerima perubahan yang berlaku menyebabkan dia berfikiran tertutup seperti katak di bawah tempurung.


3. seperti paku dengan penukul
Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak mungkin dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.


4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus
Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin mengulang kaji pelajaran samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.


B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:Contoh: Beri tiga peribahasa yang sesuai dengan cerita yang diberi.


1. Pak Hassan terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh mangsa itu tidak dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.


i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii. bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii. anak emas (anak kesayangan)
iv. air muka (diri, peribadi)


2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal melayari hidup sebagai suami isteri. Setiap pasangan perlu bersabar dan jika ada perselisihan pendapat, mereka perlu bertolak ansur serta saling memaafkan. Tanpa sikap tolak ansur sesebuah keluarga tidak akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih saying akhirnya akan lenyap. Hal ini boleh menyebabkan perceraian berlaku.


i. bagai pinang dibelah dua.
ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.


C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:Contoh:


1. Setelah Berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.


2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Rony pulang semula ke kampung halamannya kerana berasakan kampung halamannya lebih tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.


3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.


D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai:Contoh:


1. Tok penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)…………… Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.


i. rumah siap pahat berbunyi
ii. mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah


Latihan 1:Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.


1. bagaikan kera mendapat bunga
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
3. burung terbang dipipiskan lada
4. menegakkan benang yang basah
5. bagaikan telur dihujung tanduk
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
8. matinya semut kerana gula
9. air dicincang tidak akan putus
10. bagaikan embun di hujung rumput


Latihan 2:Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.


1. seperti mendukung biawak hidup
2. sudah jatuh ditimpa tangga
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
9. bagai mencurah air ke daun keladi
10. kuman di seberang laut Nampak, gajah di depan mata tak Nampak


Latihan 3:Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.


1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
4. seperti pelanduk dua serupa
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
6. seperti ular kena palu
7. mati semut kerana gula
8. bagai mendapat durian runtuh
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan

LATIHAN PERIBAHASA

Pilih peribahasa atau maksud peribahasa yang paling sesuai.

1. Ali berbelanja dengan mengikut kemampuan dirinya. Dia tidak sedikit pun terpengaruh oleh gaya hidup kawan-kawannya yang kaya.
  • A  ikut hati mati, ikut rasa binasa.
  • B  ukur baju di badan sendiri.  
  • C  pipit sama pipit, enggang sama enggang.
  • D  ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
2. Kopral Ali dan rakan-rakannya telah berjuang hingga titisan darah yang terakhir kerana mempertahankan tanah air tercinta.
  • A  harimau mati meninggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama
  • B  daripada bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah.
  • C  alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
  • D  biar berputih tulang, jangan berputih mata.  
3. Peribahasa pucuk dicita ulam mendatang bermaksud …?
  • A  mencapai sesuatu yang dihajati dengan mudah.
  • B  mendapat sesuatu dengan tidak disangka-sangka.
  • C  memperoleh sesuatu lebih daripada yang diharapkan.  
  • D  memiliki sesuatu tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

Monday 18 April 2011

LATIHAN KENDIRI -PERIBAHASA

PERIBAHASA

A. LATIHAN MEMBINA AYAT DENGAN
PERIBAHASA

Ayat atau kelompok kata yang mengandungi susunan tetap dan pengertian tertentu

Bina ayat menggunakan peribahasa.

1. selembap-lembap puntung di dapur di tiup menyala juga
- sesuatu pekerjaan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh lambat-laun berhasil juga.

Contoh ayat:
Ali tetap dapat menyiapkan sebuah kertas projek tentang pencemaran di negara ini kerana komitmen dan kesungguhannya menjalankan penyelidikan tersebut umpama peribahasa selembap-lembap puntung di dapur ditiup menyala juga

2. kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek
- lebih mementingkan kerja orang lain daripada kerja sendiri

Contoh ayat:
“Lebih baik kamu siapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru daripada asyik menolong kawan kamu itu menyiapkan kerja rumahnya ,jangan sampai kerja raja dijunjung kerja sendiri dikelek,” leter ibu kepada Krishnan.

3. dijunjung merekah kepala,dipikul meruntuh bahu
- hukuman, peraturan,perintah yang sangat berat dan keras.

Contoh ayat:
Hukuman lucut jawatan ketua kelas yang dikenakan ke atas Halim kerana merosakkan komputer sekolah dirasanya bagai dijunjung merekah kepala, dipikul meruntuh bahu kerana melibatkan maruah dirinya.

B. LATIHAN MEMBINA AYAT MENGGUNAKAN RANGKAI
KATA

Cari makna rankai kata terlebih dahulu

1. kecut hati: takut, gerun, gentar
Contoh ayat: Kecut hati Lam Ting apabila melihat kemunculan guru displin di hadapan kelas.

2. hati kaudu: hati yang jahat dan busuk dalam diri seseorang/ hati iri/hati tamak/hati dengki/hati busuk/hati sakit

Contoh ayat: Jangan ada sedikitpun hati kadau dalam diri kita jika mahu perpaduan kekal dalam masyarakat negara kita.

3. dapat terpijak: memperoleh sesuatu dengan mudah atau dengan tidak perlu berusaha

Contoh ayat: Keadaan hidup Melati yang dapat memenuhi semua kehendak hati setelah berkahwin dengan Amir yang kaya raya itu boleh diumpamakan seperti peribahasa dapat terpijak.

4. laut lepas: laut yang terbentang luas
Contoh ayat: Fuad merenung laut lepas di hadapannya dengan perasaan sayu.

B. LATIHAN MEMBINA AYAT MENGGUNAKAN PERIBAHASA

1.Bina satu ayat dengan peribahasa di bawah yang menunjukkan anda faham akan makna peribahasa tersebut

1. 1.Adu tenaga-mempertandingkan kekuatan
Contoh Ayat: "Adu tenaga kamu di gelanggang jika mahu menguji kehandalan!" Tok Wali
memberi amaran keras kepada ahli-ahli silat itu.

2. 2.Adu nasib -mencuba untung
Contoh ayat: Demi masa depan yang gemilang, akan saya adu nasib dalam bidang perniagaan
herba.

3. 3.Alah sabung menang sorak-biarpun kalah namun masih cakap besar
Contoh ayat: Sikap pasukan ragbi itu tidak disenangi oleh jurulatihnya kerana masih lagi
bercakap besar walupun sudah tewas umpama peribahasa alah sabung menang
sorak.

4. 4.Ayam beroga itu jika di pinggan emas sekalipun diberi makan,ke hutan juga perginya
Orang dagang, bagaimana senang di negeri orang, ingat juga akan negerinya sendiri.
Contoh ayat: Abu Bakar seorang ahli perniagaan yang berjaya di Brunei tetapi dia umpama
ayam beroga itu jika di pinggan emas sekalipun diberi makan ke hutan juga
perginya kerana dia tetap rindu akan kampung halamannya di Kota Bahru
( AYAM BEROGA= AYAM HUTAN )

5. 5.Ayam bertelur di atas padi mati kelaparan
Orang yang menderita kesusahan di tempat yang mewah.
Contoh ayat: Walaupun negara ini kaya dengan pelbagai hasil bumi, namun kita akan menjadi
seperti ayam bertelur di atas padi mati kelaparan jika kita malas berusaha dan
belajar bersungguh-sungguh, kita pasti akan hidup susah.

Friday 15 April 2011

SENARAI CONGANKATA PMR(KARANGAN)

SENARAI CONGANKATA
  1. Bangsa Membaca Bangsa Berjaya
  2. Membaca Jambatan Ilmu
  3. Membaca Sepanjang Hayat
  4. Guru Pembina Negara Bangsa
  5. Guru Cemerlang, Pelajar Gemilang, Negara Terbilang
  6. Belia Benci Dadah
  7. Belilah Barangan Buatan Malaysia
  8. Biar Lambat Asal Selamat
  9. Cegah Sebelum Parah
  10. Belia Benci Dadah
  11. Dadah Musuh Negara
  12. Dadah Musuh Nombor 1
  13. Bersih Cekap Amanah
  14. Kepimpinan Melalui Teladan
  15. Keranamu Malaysia
  16. Malaysia Boleh
  17. Generasi Muda Wawasan Bangsa
  18. Genarasi Muda Peneraju Wawasan
  19. Filem Kita Wajah Kita
  20. Indah Budi Kerana Bahasa
  21. Remaja Penggerak Wawasan
  22. Rumahku Syurgaku
  23. Semakin Hari Semakin Sayang
  24. Sihat Sepanjang Hayat
  25. Sayangilah Sungai Kita
  26. Fikir Dahulu Sebelum Buang
  27. Utamakan Kesihatan
  28. Tak Nak Merokok
  29. Satu Malaysia
  30. Bahasa Jiwa Bangsa

Monday 11 April 2011

SAMPEL KARANGAN GRED A+

Dimensi Antarabangsa/Global/Serantau

Malaysia sentiasa prihatin terhadap warga dunia yang ditimpa bencana. Pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan untuk meringankan penderitaan mangsa.
Pada pendapat anda, mengapakah kerajaan dan rakyat Malaysia perlu membantu mangsa-mangsa bencana tersebut.

Mayat bergelimpangan. Bangkai bertaburan. Harta benda musnah. Anak kebuluran. Demikianlah senario gara-gara bencana alam. Kehidupan nescaya akan menjadi sukar untuk mangsa-mangsa bencana alam seperti  ribut, banjir, gempa bumi, tsunami, kemarau, dan sebagainya. Siapakah yang dapat membantu mereka? Malaysia boleh. Kita boleh menyumbangkan khidmat bantuan kebajikan dan kemanusiaan kepada mangsa malapetaka alam. Kita boleh memberikan maklumat dan menawarkan bantuan kepakaran dan teknikal dalam usaha membangunkan kawasan yang terbabit. Kita boleh melancarkan tabung kebajikan mangsa bencana di peringkat kebangsaan. Persoalannnya, mengapakah Malaysia perlu membantu mangsa-mangsa bencana tersebut?

Inisiatif kerajaan dan rakyat Malaysia yang sanggup menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam dunia dapat menjalin tali silaturahim dan ukhuwah dengan negara-negara yang terbabit. Apabila kita menyumbangkan apa-apa jua bantuan kepada negara yang dilanda musibah alam, sudah tentu tali persaudaraan dengan rakyat dan negara yang terbabit dapat dipererat. Ketika tsunami besar melanda negara-negara serantau pada tahun 2004, misalnya, Mercy Malaysia yang merupakan sebuah pertubuhan bantuan perubatan sukarela telah menghulurkan bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa bencana alam. Bantuan perubatan amat diperlukan dan dihargai kerana mangsa-mangsa bencana bukan sahaja mengalami kecederaan parah bahkan menghidap penyakit berjangkit. Bantuan berupa ini bukan setakat dapat meringankan penderitaan mereka malah tali ukhuwah terjalin dengan negara-negara yang terbabit, bak kata pepatah cubit paha kanan, paha kiri pun merasa juga.

Sebagai umat manusia yang berprihatin dan bertimbang rasa, sudah menjadi lumrah manusia untuk menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan pertolongan, terutamanya mangsa-mangsa bencana. Mungkin hari ini jiran kita, Indonesia, dilanda bencana alam letusan gunung berapi dan tsunami, mungkin esok Filipina dilanda ribut taufan, dan mungkin lusa kita pula ditimpa bencana tanah runtuh. Dengan erti kata lain, apabila kita senang dan makmur, kita tidak harus berpeluk tubuk menyaksikan kesengsaraan jiran-jiran kita kerana malang tidak berbau dan kemalangan tidak mengenal mangsanya  Seelok-eloknya, kita menyumbangkan apa-apa juga bantuan baik kewangan, makanan, perubatan mahupun teknikal kepada mana-mana negara yang dilanda musibah alam. Pendek kata, kejadian bencana alam mengundang keprihatinan rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Tanpa mengira sempadan budaya, kaum, agama, mahupun negara, kita perlu menghulurkan tangan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Bahkan, keterlibatan dalam penyumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam dapat meningkatkan imej kita sebagai negara yang makmur di persada antarabangsa. Kita berbangga dengan kemantapan siasah dan kemapanan iktisad yang sedang kita kecap. Kita mendabik dada dengan ahli sukan kita, terutamanya Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David. Kita juga harus bermegah dengan kemampuan kita dalam usaha membantu rakan-rakan kita yang dilanda bencana alam di seantero dunia. Seandainya kita mampu menghulurkan bantuan kewangan, rawatan perubatan, ubat-ubatan, makanan, teknikal, kejuruteraan, dan sebagainya, sesungguhnya kita sudah berjaya dan maju dalam segala aspek kehidupan. Dengan kemampuan dan keprihatinan ini, kita dapat meraih keyakinan dan kehormatan bangsa-bangsa maju di empat pojok dunia. Dengan ini, rakyat asing tidak akan teragak-agak untuk melabur di negara kita kerana mereka akan berasa selamat dan bahagia di Bumi Malaysia. Kesannya, kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Sebagai intiha, sumbangan kepada mangsa-mangsa malapetaka alam tanpa mengira bangsa dan negara mencerminkan bahawa rakyat Malaysia berperikemanusiaan. Tidak kira negara yang ditimpa bencana alam itu kaya ataupun miskin, maju ataupun mundur, kawan atau musuh, jiran ataupun sahabat, kita patut menghulurkan tangan memberikan apa-apa jua bantuan agar kesengsaraan dan keazaban mangsa-mangsa bencana dapat dikurangkan. Kita memang mengharapkan kemakmuran dan kebahagiaan di dunia ini tetapi bencana alam adalah di luar kuasa manusia. Jadi, seandainya ditimpa apa-apa jua musibah, eloklah kita menyumbangkan bantuan sekadar yang dapat kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam menghadapi bencana alam, kita bersama-sama mengorak langkah mengurangkan impak musibah alam dan berganding bahu meredakan penderitaan mangsa-mangsa bencana. Dengan adanya perasaan kemanusiaan dalam kalangan manusia, kita dapat hidup bahagia dan harmoni di dunia ini.

LATIHAN PMR 1


1.  Pekerjaan _________  batik memerlukan ketekunan yang tinggi kerana kerja-kerja tersebut amat rumit .
A mencetak
B mengukir
C melukis
D mencanting


2.  Abang Din begitu cekal ________ durian yang dipungut di dusunnya.
A mengendong
B menyandang
C menggalas
D membimbit


3.   Gejala buli tidak harus dipandang  _________ kerana banyak mendatangkan kesan negatif.
A remeh
B hina
C rendah
D kolot

4.  Ekspedisi ke Taman Negara Bako anjuran Kelab Rekreasi dan Kembara sekolah saya mendapat  yang positif daripada para pelajar.
A tindak balas
B gerak balas
C maklum balas
D cadang balas

5.  Kaum remaja harus berhati-hati supaya tidak terpengaruh dan terbawa-bawa ________  kebudayaan barat.
A dengan
B akan
C oleh
D kepada

6.  Kumpulan pelancong itu kelihatan ________ apabila perahu yang dinaiki mereka terumbang-umbang.
A rimas
B gugup
C gayat
D cemas

7.  Ketiadaan pemimpin yang berwibawa menyebabkan berlakunya perebutan kuasa sehingga menyebabkan keadaan yang _______.
A hiruk-pikuk
B porak-peranda
C lintang-kedak
D serbah-serbih

8.  ________ hari sudah senja, burung-burung pulang ke sarang.
A Seandainya
B Manakala
C Selagi
D Bahawa

LANGKAH MELESTARIKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.

Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan keranaada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan tradisional bangsa kita.

Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong asing dengan lebih berkesan.

Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara kita.

Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa kita sampai bila-bila

STRATEGI MEMBINA KARANGAN GRED A+


Tajuk / tema karangan: Kehidupan Bermasyarakat

Fokus karangan: Kepentingan / kebaikan

Format karangan: Tiada (Pendapat/Perbincangan)

1.  PERENGGAN INTRODUKSI JENIS GABUNGAN

[Ayat Rangsangan] Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu ciri signifikan dalam kamus hidup rakyat Malaysia. [Ayat Huraian 1] Malangnya, semangat kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep jiran sepakat membawa berkat, dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. [Ayat Huraian 1] Menurut beliau, mereka hidup berkonsepkan enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing. [Ayat Huraian 2] Saya memang menyetujui pandangan beliau kerana rakyat kita tidak merasakan diri mereka bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumah mereka sama ada rumah jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu gam, isteri jiran curang, anak jiran menjadi mangsa penderaan ataupun anak gadis jiran lari dari rumah. [Ayat Arahan] Jadi, langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat sebelum kudis menjadi tokak.

2.  PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul] Kehidupan bermasyarakat, tidak dapat disangkal, dapat diamalkan menerusi semangat kejiranan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Antaranya termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan masa untuk bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran, aktiviti bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan aktiviti riadah. [Pengembangan: Ayat Huraian 2]Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin. [Pengembangan: Ayat Contoh 1]Apabila jiran tetangga ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita bukan sahaja perlu menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan moral. Dengan ini, konsep berat mata memandang, berat  lagi bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat. [Pengembangan: Ayat Contoh 2] Apabila tanah sawah diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lebih-lebih lagi, bertandang ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan mahupun kenduri perkahwinan dapat menjalin tali persahabatan yang erat. [Ayat Penyimpul]Dengan erti kata lain, semangat kejiranan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.

3.  PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul]Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui majlis-majlis sosial dan perayaan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup bermasyarakat termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya. [Pengembangan: Ayat Huraian 3] Dalam hal ini,  masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli keluarga sahaja, sebaliknya haruslah meluaskan skopnya dengan membabitkan seluruh masyarakat setempat, sanak saudara, dan sahabat handai. [Pengembangan: Ayat ContohDalam menjayakan majlis-majlis tersebut, semua anggota masyarakat berganding bahu menyediakan juadah dan minuman, mendirikan tenda, dan menyusun atur kerusi meja untuk tetamu. [Pengembangan: Ayat Huraian 4] Dalam situasi inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi sekali gus mempererat tali silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, agama, adat, dan kepercayaan, di samping memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan lagi. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat demi memupuk budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun warga bandar.

3.  PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)

[Ayat Judul]Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui didikan agama dan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Hal ini demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. [Pengembangan: Ayat Contoh] Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban, umat Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dari perspektif yang lain pula, semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dalam konteks ini, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan menyemaikan semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam kalangan warga sekolah. [Pengembangan: Ayat Contoh] Melalui kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu menceriakan pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu sama lain. [Ayat Penyimpul] Dengan ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging masyarakat kita.

5.  PERENGGAN INTIHA

[Ayat Kesimpulan] Sebagai intiha, kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah yang dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat. [Ayat Penilaian] Semangat ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum. [Ayat Penilaian]Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera, bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.[Ayat Cadangan]Jadi, semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan, dan kemajuan. [Ayat Harapan 2]Dengan ada kesedaran ini, bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di empat pojok di tanah tumpah darah kita.[Ayat Harapan 2]Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di persada antarabangsa.

ISI-ISI BERKAITAN ISU PELANCONGAN

Terlalu banyak kepentingan/kebaikan/manfaat/kemaslahatan/kelebihan industri pelancongan kepada negara, antaranya:-
  1. Meningkatkan pendapatan negara melalui kemasukan wang asing.
  2. Mengurangkan masalah pengangguran dengan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak.
  3. Meningkatkan taraf hidup rakyat.
  4. Mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dengan yang berpendapatan rendah.
  5. Meningkatkan kemudahan prasarana negara seperti sistem pengangkutan, perhotelan, perkhidmatan dan kesihatan.
  6. Mempromosikan negara kita ke peringkat global.
  7. Meningkatkan perkembangan industri sampingan seperti industri kraf tangan, restoran dan pusat peranginan.
  8. Menjalinkan hubungan diplomatik yang lebih baik dengan negara-negara lain.
  9. Merangsang pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor perhotelan, perkhidmatan, pengangkutan, kesihatan dan pertanian.
  10. Meningkatkan penguasaan bahasa asing dalam kalangan penduduk negara.
  11. Meningkatkan pengetahuan rakyat tentang budaya dan ketamadunan bangsa asing.
  12. Menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam kalangan rakyat.
  13. Mengurangkan kadar kemiskinan rakyat.
  14. Mengurangkan kadar kes jenayah.
  15. Membantu negara mencapai wawasan 2020.

ISI-ISI BERKAITAN ISU PERPADUAN

Isu perpaduan sering diperkatakan berulang-ulang kali dan akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi. Namun banyak pihak yang akur dan mengakui bahawa perpaduan kaum di negara kita adalah lebih baik berbanding dengan sesetengah negara lain di dunia.
Antara usaha yang telah dan boleh dilaksanakan ialah:-
  • Kerajaan perlu sentiasa mengingatkan rakyat agar mengutamakan aspek perpaduan.
  • Rakyat pula tidak seharusnya berasa jemu dengan peringatan itu malah sentiasa proaktif.
  • Pemimpin politik yang mewakili sesuatu kaum atau etnik tidak memainkan isu-isu perkauman yang sempit demi meraih populariti.
  • Semua pihak wajib mengelakkan pergeseran walaupun hanya pergeseran kecil.
  • Kerajaan telah berusaha secara berterusan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara contoh yang mengamalkan persefahaman kaum, toleransi beragama dan konsep perpaduan nasional.
  • Peranan anggota masyarakat serta ibu bapa mendidik generasi muda agar menerima dan mengamalkan konsep perpaduan.
  • Mengurangkan atau mengecilkan jurang perbezaan yang masih terdapat antara kaum seperti jurang ekonomi, polarisasi petempatan, kerjaya dan seumpamanya.
  • Mengeratkan perhubungan dengan cara menyertai sambutan perayaan bersama-sama seperti program rumah terbuka, kunjung-mengunjungi, usaha sama dalam perniagaan dan lain-lain.
  • Menarik lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan polis dan angkatan tentera, menjadi kakitangan kerajaan.
  • Menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang kerap seperti kejohanan sukan, pameran dan kesenian.
  • Menggalakkan perkahwinan campur.
  • Peranan pihak swasta dan NGO perlu dimaksimumkan.
  • Meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pasukan keselamatan bagi menjaga ketenteraman negara daripada ancaman musuh dari luar dan dalam.
  • Kerajaan mestilah mengutamakan keadilan dalam setiap aspek.
  • Kenali segera punca dan sebab tercetusnya sesuatu pergeseran dan tindakan segera juga perlu diambil bagi menanganinya.
  • Semua golongan mestilah sentiasa memohon doa kepada Tuhan agar negara kita sentiasa kekal aman sentosa.

KAEDAH TUKAR CAKAP AJUK KEPADA CAKAP PINDAH

Kaedah: Menukarkan Cakap Ajuk atau Dialog kepada Cakap Pindah

Perhatikan cakap ajuk di bawah :
 

"Kamu makanlah segera. Kamu jangan lupa basuh pinggan," pesan ibu kepada Aini.

Untuk menukarkan cakap ajuk atau dialog di atas kepada cakap pindah, murid hendaklah berpegang pada tiga elemen komunikasi, iaitu :

a. Kenali Topik Perbincangan
b. Kenali persona
c. Kenali Konteks Komunikasi


Berdasarkan tiga elemen dalam komunikasi itu, murid akan mendapati:

a. Kenali Topik Perbincangan :
i. makanlah segera.
ii. jangan lupa basuh pinggan.
b. Kenali persona :
i. ibu
ii. Aini
c. Kenali Konteks :
i. pesan

Berdasarkan unsur dalam elemen komunikasi itu, murid boleh membina ayat sendiri dalam ragam cakap pindah. Misalnya,

 
i. Ibu berpesan kepada Aini supaya makanlah segera tetapi jangan lupa membasuh pinggan.
ii. Ibu memberikan pesanan kepada Aini supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.
iii. Ibu berpesan supaya Aini makanlah segera dan jangan lupa membasuh pinggan.
Berdasarkan tiga ayat di atas, semua unsur dalam elemen komunikasi dalam cakap ajuk atau dialog itu tidak tertinggal dalam proses menukarkannya kepada cakap pindah. Oleh hal demikian, wacana dalam cakap ajuk atau dialog itu tetap terpelihara dalam cakap pindah.
Kaedah ini juga membolehkan murid menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk atau dialog. Apabila murid mengenali unsur dalam elemen komunikasi tersebut, murid hanya perlu menggunakan unsur tersebut dalam membina cakap ajuk atau dialog sendiri. Proses membina cakap ajuk atau dialog ini adalah lebih mudah.

MINGGU BAHASA MELAYU 2011

TARIKH: 12 APRIL 2011-15 APRIL 2011


OBJEKTIF

  • MENINGKATKAN KEMAHIRAN BERBAHASA DAN BERKOMUNIKASI DALAM KALANGAN MURID.
  • MENGASAH BAKAT DAN MENCUNGKIL KREATIVITI DALAM AKTIVITI BAHASA DAN SASTERA.
  • MEMPERKAYA PENGUASAAN KOSA KATA, PERIBAHASA DAN PENGETAHUAN AM.
  • MEMPERKUKUH KEMAHIRAN TATABAHASA DAN MENGGUNAKAN BAHASA YANG GRAMATIS.
  • MEMUPUK SEMANGAT 1 MALAYSIA MELALUI KERJASAMA BERPASUKAN.
  • MENINGKATKAN KEPERIBADIAN MELALUI BAHASA.
AKTIVITI

SELASA - PELANCARAN MINGGU BM
                - KUIZ SENAM MINDA (MASA 6)

RABU - KUIZ PERIBAHASA /KOMSAS
              (SEMASA PERHIMPUNAN)
            - PERSEDIAAN PERTANDINGAN LIRIK BERIRAMA

KHAMIS - PERTANDINGAN LIRIK BERIRAMA (TING 5)
                   (MASA 6,7,8)
                 - PERTANDINGAN LIRIK BERIRAMA (TING 2)
                   (MASA 6,7,8)

JUMAAT - - PERTANDINGAN LIRIK BERIRAMA (TING 4)
                   (MASA 1,2,3)
                 - PERTANDINGAN LIRIK BERIRAMA (TING 3)
                   (MASA 5,6,7)
                 - PERTANDINGAN LIRIK BERIRAMA (TING 1)
                   (MASA 6,7,8)

ISNIN - PENYAMPAIAN HADIAH
              (PERHIMPUNAN RASMI SEKOLAH)

AJK PELAKSANA

SESI PAGI
  1. CIK FAUZIAH ABD GHANI
  2. PN.NOOR ZALIDA BT MOHD ZAHARI
  3. PN.MASTURA BT MOHAMAD
  4. PN.NOR AZLINA BT AB RAZAB
  5. PN.HARNIDA BT ZAMAN ZAHARI
  6. PN.NOOR FAZILLAY BT MAT SAID
  7. EN MOHD MUZLIMI B JUNOH
SESI PETANG

  1. EN.MOHD MAZWAN B OTHMAN
  2. PN.SYUHAIDA BT MOHAMAD
  3. PN NUR HIDAYAH BT MOHD NOOR
  4. CIK ERLINA BT RAHIM
  5. CIK RATNA DEWI BT MOHD RASID

TERIMA KASIH ATAS SUMBANGAN SEMUA GURU YANG MENJAYAKAN MINGGU BAHASA MELAYU 2011