Thursday 28 April 2011

MINGGU BAHASA MELAYU 2011(SESI PAGI)

Pelajar sedang mengacarakan majlis sempena Perasmian Minggu Bahasa Melayu 2011
5 Kenanga sedang membuat persembahan
Cik Rozinah , PK Tadbir & Kurikulum menyampaikan ucapan perasmian

 
Persembahan pelajar 5 Anggerik sempena perasmian Minggu Bahasa

Pelajar 5 Bakawali menjawab Teka Silangkata sempena Minggu Bahasa
Cik Fauziah, Pn.Nor Fazillay, dan Pn.Zalida guru penyelaras aktiviti Minggu Bahasa Melayu 2011
5 Kenanga sedang membuat persembahan sempena Pertandingan Lagu Berirama
Peserta yang terlibat dalam aktiviti pertandingan Minggu Bahasa
Hakim pertandingan terpegun melihat aksi peserta

Wednesday 27 April 2011

PERBINCANGAN KARANGAN SPM

Tajuk: Negara maju acuan Malaysia memerlukan rakyat yang:
·         Bersatu padu
·         Berakhlak mulia
·         Berilmu pengetahuan
·         Bersemangat patriotik
·         Berpegang teguh kepada ajaran agama

Berikan ulasan anda.

Tanggal 21 Februari 1991, bertempat di perasmian Majlis Perdagangan Malaysia, tercatatlah satu lagi peristiwa dalam lembaran Hari Ini Dalam Sejarah. Peristiwa penting itu ialah Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu Dato Seri Dr Mahathir Mohamad telah meuar-uarkan satu ilham yang begitu pragmatik iaitu WAWASAN 2020.  Gagasan yang mempunyai sembilan mekanisme cabaran itu menjadi acuan utama ke arah membentuk negara dan rakyat Malaysia yang progresif, berdaya saing, berilmu pengetahuan, dan mempunyai daya tahan yang tinggi bagi menghadapi era maju menjelang abad ke-21.  Antara intipati daripada sembilan cabaran itu adalah untuk membentuk sebuah negara maju dalam acuan Malaysia iaitu negara dengan rakyat yang bersatu padu, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bersemangat patriotik dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Sesungguhnya, saya amat bersetuju kelima-lima unsur ini sudah pasti menjadi cabaran besar untuk kita galas jikalau mahukan negara tercinta ini bertukar wajah menjadi negara maju seperti yang dicita-citakan.  Oleh itu, bersama-samalah kita menggemblengkan tenaga dan fikiran untuk merealisasikan gagasan tersebut.

Peribahasa Melayu ada menyatakan, bersatu teguh, bercerai roboh dan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.  Hal demikian menjelaskan, bahawa kehidupan kita sebagai suatu bangsa Malaysia menuntut kepada suasana ukhuwah dan bersatu padu.  Bersatu padu dalam konteks rakyat Malaysia membawa maksud hidup dalam suasana aman, harmoni, bertolak ansur, dan bekerjasama dalam masyarakat majmuk.  Suasana tersebut amatlah penting bagi mengelak berulang semula tragedi-tragedi ngeri yang menumpahkan darah seperti Peristiwa 13 Mei 1969 dan pergaduhan antara kaum di Kampung Medan pada tahun 2000.  Peristiwa-peristiwa seumpama itu sesungguhnya akan menebalkan lagi rasa syak wasangka dan turut memperdalam jurang ketegangan antara kaum.  Sepatutnya kita mesti menerima hakikat bahawa kita ditakdirkan hidup dalam pelbagai etnik dengan pelbagai ragam budaya.  Warasnya, atas rasa cinta kepada nusa dan demi mengidami keamanan kita hendaklah menjelmakan satu semangat bersatu dengan slogan, “Negara Kita Tanggungjawab Kita.” 

Imam al-Ghazali pernah menyatakan, ‘Apabila kamu hendak mengenal wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenal diri (peribadi) bercerminlah pada wajah.”  Kata-kata tersebut memberikan gambaran betapa keperibadian dan akhlak yang mulia akan menjadi pengukur tinggi atau rendah harga diri setiap individu.  Sejajar dengannya, setiap rakyat perlulah menonjolkan suatu imej yang terpuji dengan ,mengamlkan akhlak yang mulia.  Akhlak mulia merupakan intisari kepada nilai-nilai murni yang sejagat dan amat dituntut sama ada dari sudut budaya dan peradaban malahan dituntut di sisi agama juga.  Nilai tersebut bermatlamat membentuk insan yang seimbang dalam aspek mental, emosi, intelek, dan jasmani.  Dengan terbentuknya nilai-nilai tersebut, justeru akan lahirlah warga Malaysia yang berhati mulia, bersopan-santun, dan hormat-menghormati.  Falsafah hidup yang bertunjangkan prinsip-prinsip akhlak seperti ini sudah pasti dapat mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia di samping memantulkan imej masyarakat Timur yang begitu terkenal dengan peradaban yang tinggi.  Oleh yang demikian, jadikanlah budi bahasa sebagai cerminan imej dan nilai budaya masyarakat Malaysia.

Apabila tamadun dunia melangkah masuk ke abad Millenium, tuntutan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan pasti menjadi wahana yang penting dan perlu dikuasai oleh setiap warganegara.  Dengan itu, acuan rakyat Malaysia perlu seiring dengan matlamat membentuk rakyat yang berilmu pengetahuan.  Rakyat yang berilmu pengetahuan ialah rakyat yang bijaksana dengan menguasai segala bidang ilmu sama ada dalam bidang sains dan teknologi dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ketamadunan, agama, dan kemanusiaan.  Langkah ini amatlah pragmatik dalam usaha mewujudkan suatu rupa bangsa Malaysia yang bijak, pintar, mahir, dan menguasai teknologi.  Penguasaan ilmu dalam bidang sains dan teknologi hendaklah menjadi agenda penting negara kerana ilmu tersebut menjadi aset negara berkembang maju dalam aspek fizikal, prasarana, dan pertumbuhan ekonomi yang pesat.  Manakala ilmu-ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai keinsanan pula bermatlamat membentuk rakyat yang mempunyai nilai-nilai murni seperti berjiwa patriotik,  bersopan santun, bertolak ansur dan bersatu padu.  Dengan komponen kedua-dua bidang ilmu tersebut, kita amatlah berharap matlamat WW 2020 akan berjejak di bumi nyata setelah rakyat telah sarat dengan ilmu pengetahuan.

Tokoh nasionalisme Filipina yang terulung, Jose Rizal pernah menyatakan, “Tuhanku, sekiranya aku mati dalam perjuangan ini, biarlah tubuh dan darahku bersemadi menjadi tanah, namun harga perjuanganku akan kuabadikan untuk rakyat Filipina.”  Demikianlah sebuah percaturan hidup dan mati daripada seorang tokoh patriotik atas cintanya terhadap tanah air.  Demi mempertahankan keutuhan dan kedaulatan negara setiap rakyat hendaklah berjiwa patriotik. Semangat tersebut dapat menjanakan jati diri bangsa yang bersemangat waja, cinta akan tanah air, dan rela berkorban demi kedaulatan negara.  Oleh yang demikian, strategi yang paling berkesan adalah dengan menyemaikan semangat patriotisme kepada generasi muda semasa mereka dalam alam persekolahan lagi.  Subjek-subjek yang berkaitan dengan kenegaraan seperti sejarah, pendidikan moral, agama, bahasa dan kesusasteraan perlulah diajar kepada para pelajar.  Selain itu, nilai-nilai hidup bersama dan setia kawan perlulah dipupuk dalam aktiviti kokurikulum dan sukan.  Seandainya, masyarakat Jepun begitu berbangga dengan nilai ‘kaizen’ dan masyarakat Cina dengan nilai ‘kiasu’ mereka, justeru  rakyat Malaysia pula mesti  kuat berpegang dengan falsafah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Strategi seterusnya ialah menyemaikan sifat-sifat taat dan taqwa (patuh) kepada pencipta dengan berpegang teguh kepadaa ajaran agama.  Dengan kesegaran jiwa agama kita dapat membentuk insan syumul yang sentiasa patuh kepada Tuhannya dan setia kepada negara serta pemimpin.  Walaupun rakyat Malaysia bebas menganut agama dan kepercayaan masing-masing, namun kita yakin setiap agama tidak pernah mengajarkan nilai-nilai negatif yang boleh memesongkan penganutnya.  Dengan hal yang demikian, ibu bapa adalah bertanggungjawab untuk menanamkan nilai-nilai benar dan beriman yang terdapat dalam doktrin agama masing-masing.  Insan yang beragama seyogianya akan menjadi insan yang bertanggungjawab, beriman, berakhlak, sentiasa bersyukur serta lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, negara, dan agama.  Bagi memastikan amanah ini terlaksna dengan sebaik mungkin ambillah agama dan moral sebagai landasan hidup kerana “Sebaik-baik manusia dilihat atas agama yang diamalinya”.

Mafhum (maksud) daripada sepotong ayat suci al-Quran yang menyatakan bahawa, “Sesungguhnya, Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubahnya.”  Hal tersebut memberi suatu isyarat bahawa maju atau mundur dan senang atau susah hidup kita amatlah bergantung kepada diri kita sendiri.  Demi mencapai matlamat murni itu kita perlu berusaha gigih dari sekarang dan kita juga perlu ingat kepada slogan, “Negara Kita Tanggungjawab Kita”.

AKTIVIT MINGGU BAHASA MELAYU 2011


Pemenang menerima hamper daripada Puan Mashitah

Pn.Mashitah menyampaikan hadiah kepada pemenang aktiviti
 
Salah seorang pemenang aktiviti Minggu Bahasa


Wednesday 20 April 2011

LATI TUBI TATABAHASA TINGKATAN 5

Tukarkan ayat di bawah kepada ayat songsang
1. Kami pergi ke Zoo negara pada cuti semester yang lalu
2. Adik tiba di Kuala Lumpur semalam
3. Saya akan membeli rumah itu jika ada wang.
4. Saya pergi ke kedai menaiki basikal
5. encik Kamal baru membeli kereta
6. Saya tidak pernah pergi ke Kuala Lumpur
7. Dia akan mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan
8. mereka berkhemah di Pantai Teluk Batik selama tiga hari
9. Sekolah itu baru dibina tahun lalu
10. beg itu diletakkan di atas meja
11. negeri Terengganu kaya dengan petroleum
12. Pelajar lelaki menyusun meja dan kerusi di dewan itu.
13. Zainab berpindah ke kampung itu pada tahun lepas.
14. Azhar ke kedai basikal
15. Chong sangat rajin
16. lembu itu sudah mati
17. buah manggis itu sungguh manis
18. ibunya kerani mahkamah

Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif

1. Ayah menanam sampah-sarap yang ada di belakang rumah untuk mengelakkan pembiakan nyamuk.
2. Saya sudah menyelesaikan latihan yang diberi oleh guru Matematik
3. Awang belum memutuskan perkara tersebut sehingga kini.
4. Encik Maniam menyiram pokok bunga itu
5. mereka menyusn batu bata yang berslerakan itu
6. Kim Moi melepaskan burung di dalam sangkar itu
7. dia menjaringkan gol kemenangan
8. kami yang melukis garisan di padang
9. kita harus mencintai Negara kita
10. adik memasukkan barang mainan ke dalam bakul
11. mereka menentang keputusan mesyuarat itu
12. pengarang yang terkenal menulis buku itu
13. saya membeli buku itu di kedai Pak Samad


Tukarkan ayat di bawah kepada ayat aktif.
1. Undang-undang negara mestilah kamu patuhi agar hidup kita lebih aman
2. Minuman yang terletak di atas meja itu telah diminum oleh adik
3. Penculik kanak-kanak itu telah ditangkap oleh polis pada pagi tadi
4. Mereka ke sekolah dengan menaiki bas
5. Kakak mencuci pakaian kotor di bilik air
6. Ayah memarahi Kamal kerana pulang rumah jauh malam


Buat ayat daripada peribahasa ini
1. seperti ayam berak kapur
2. jangan meludah ke langit
3. harimau mati meninggalkan belang , manusia mati meninggalkan nama
4. muka berconteng arang
5. harapkan pagar , pagar makan padi

KARANGAN PMR 2011 (FOKUS 2011)

Sebagai wartawan sebuah majalah sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk “Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara”.
Tulis rencana itu selengkapnya.

Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan NegaraOleh: Mohd Shahir Mohd Shah

Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara “sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara!”

ANALISISI KARANGAN BAHAGIAN B ( RANGSANGAN )

2005 – Gambar tunggal ( isu kitar semula )
2006 – Peta minda – kebaikan gotong royong
2007 – Gambar bersiri – Pesta Flora
2008 – Peta minda – kesan banjir
2009 – Carta aliran – cara-cara mengatasi kesesakan jalan raya
2010 – Peta minda – Kesan-kesan kegiatan pembalakan secara tidak terkawal

ANALISIS TEKS KOMSAS (SOALAN 30-40 KERTAS 1)

GENRE

PUISI TRADISIONAL

TINGKATAN 1

  1. pantun dua kerat – 2008
  2. pantun budi
  3. pantun kanak-kanak
  4. Syair Badrul Zaman
  5. Syair Ken Tambuhan Syair Menyambut Pelajaran ( 2006 )
TINGKATAN 2

  1. Pantun Perpisahan
  2. Pantun Joget Pahang
  3. Pantun Teka Teki
  4. Syair Pesan Ibu
  5. Syair Nur Alam Lela Putera
  6. Syair Mungir Janji
TINGKATAN 3

  1. Pantun Budi
  2. Pantun Nasib – 2010
  3. Pantun Peribahasa
  4. Syair Yatim Nestapa
  5. Syair Cintai Alam Sekitar
  6. Syair Tenaga Pemuda
SAJAK

TINGKATAN 1

  1. negeri Tercinta
  2. Seorang Guru Tua – 2009
  3. Surat dari Kampus
  4. Puisi Buat Mama
  5. Tasik Biru Bau, Sarawak
  6. Burung Tempua – 2003
TINGKATAN 2

  1. Mata ayah
  2. Seuntai Kata untuk Dirasa
  3. Bicara Buat Guru – 2004
  4. Pesan Tangan Kepada Jari – 2005
  5. Cinta
  6. Ruang
TINGKATAN 3

  1. Rumah Baru
  2. Bahasa
  3. Bila Berjauhan – 2007
  4. Wanita Zaman Ini
  5. Ketika Kami Bercerita Tentangnya – 2002
  6. Usia
PROSA TRADISIONAL

TINGKATAN 1

  1. Lebai Malang
  2. Tujuh Puteri Turun ke Dunia
  3. Susur Galur Asal Usul Negeri Melaka
  4. Keberanian Lima Bersaudara – 2002
TINGKATAN 2

  1. Pak Kaduk
  2. Putera Besar Lahir ke Dunia - 2003
  3. Puteri Buluh Betong
  4. Cerita Kera dengan Buaya
TINGKATAN 3

  1. Pak Belalang
  2. Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari
  3. Raja Bersiung ( 2004 , 2009 )
  4. Patung Kencana dari Kuripan
CERPEN

TINGKATAN 1

  1. Hadiah Hari Guru
  2. Gema Menggegar Kota
  3. Diari Seorang Pengawas
  4. Makmal ZNF
  5. Sehijau Warna Daun
  6. Pak Su
TINGKATAN 2

  1. Tina
  2. Batu
  3. Buku Catatan Farid Badrul
  4. Mama – 2002
  5. Erti Kasih Makna Sayang
  6. Tangan Kanan , Kiri atau Kedua-duanya – 2007
TINGKATAN 3

  1. Sayang Ayah
  2. Pertemuan
  3. Dugong – 2003
  4. Hikayat Mat Jenin
  5. Rahsia
  6. Anak Bumi Tercinta – 2005
CATATAN: KOMSAS YANG BERWARNA MERAH DAH KELUAR DALAM PMR