Wednesday 6 April 2011

SINOPSIS NOVEL INTERLOK


Keluarga Cing Huat

1.
 
Lee Kim Lock berasal dari negara China, iaitu di suatu desa di kawasan perlembahan gunung. Penduduk desa itu menanam padi untuk menyara hidup mereka. Walau bagaimanapun, mereka selalu berhadapan dengan masalah apabila padi mereka musnah akibat banjir dan padi mereka dimakan oleh belalang. Oleh itu, Kim Lock mengatakan bahawa mereka terpaksa pergi ke kota untuk mencari kerja. Mereka akan pergi ke Cangcow untuk memulakan kehidupan baharu. Namun begitu, hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana Paman Kok Leng menceritakan bahawa mereka boleh mendapat wang dengan mudah kalau pergi ke Rantau Selatan. Dia sudah memiliki lombong dan mengatakan mereka perlulah rajin berusaha untuk mengumpul kekayaan.

Akhirnya Kim Lock bersetuju untuk mengikut Paman Kok Leng dan mambawa anaknya Cing Huat bersama-sama dengannya. Isterinya pula akan tinggal bersama-sama dengan adiknya di desa itu. Paman Kok Leng mengenakan bayaran lima puluh ringgit untuk setiap orang dan Cing Huat dikenakan bayaran sebanyak dua puluh lima ringgit. Paman Kok Leng mendahulukan wangnya dan mereka terpaksa memberikan surat tanah kepadanya dan jika pinjaman wang itu tidak dilangsaikan dalam tempoh yang ditetapkan, tanah itu akan menjadi miliknya. Seramai sepuluh orang yang sudah memberikan persetujuan untuk mengikut Paman Kok Leng.

Mereka meneruskan perjalanan ke kota Cangcow dan seterusnya mereka akan menaiki kapal ke Amoy. Selepas itu mereka singgah di Pelabuhan Swatow dan menaiki sebuah kapal lain yang lebih besar di Pelabuhan Hong Kong. Semasa di dalam kapal itu, Kim Lock dan Cing Huat mengalami pelbagai pengalaman seperti tubuh mereka basah kuyup akibat terkena hujan dan Cing Huat muntah kerana mabuk laut. Mereka akan sampai ke negeri yang hendak dituju itu dalam masa lebih kurang tiga belas hari lagi. Pada petang hari yang ketiga belas, mereka tiba di Sin-cia-pu ataupun Singapura. Mereka memanggil orang di Singapura itu Huan Na.

Dua hari berada di Singapura Cing Huat mendapat kerja di sebuah kedai kopi. Bapanya pula masih belum mendapat kerja lagi dan akhirnya selepas hari keempat Kim Lock memulakan kerja dengan menarik lanca. Dia terpaksa membayar sewa sebanyak dua puluh sen sehari kepada tauke lanca itu.
 
Kim Lock dan Cing Huat sudah berada di Singapura selama tiga puluh bulan dan dia sudah melakukan beberapa jenis kerja seperti kuli mengangkat najis selain menarik lanca. Dia lebih suka akan kerja sebagai kuli mengangkat najis kerana gajinya tetap iaitu sebanyak sepuluh ringgit sebulan. Cing Huat pula bekerja di kedai runcit yang dimiliki oleh seorang penduduk desanya yang bernama Gim Thong.
 
2.
Pada suatu hari, Kim Sui mengajaknya ke seberang dan Kim Lock mengatakan bahawa dia terpaksa membawa Cing Huat bersam-sama dengannya kerana anaknya itu masih kecil. Kim Lock, Cing Huat, dan Kim Sui menaiki tongkang untuk ke Ma-la-ca. Walau bagaimanapun, tongkang itu tidak pergi ke Melaka tetapi singgah di Bandar Maharani. Kemudian, seorang tauke lombong dari Lukut menawarkan kerja kepada Kim Lock dan tanpa berfikir panjang, dia menerima tawaran tersebut. Kim Lock bekerja selama hampir dua bulan di lombong itu tetapi setelah mengetahui Paman Kok Leng juga menjadi rakan kongsi tauke lombong itu, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja. Kim Lock dan Cing Huat seterusnya menaiki tongkang menuju ke utara. Setelah beberapa bulan lamanya Kim Lock tinggal di Pulau Pinang, dia bertemu semula dengan Kim Sui yang membuka kedai di Kubang Kerbau.
 
3.
Kim Lock membeli sebuah kedai kepunyaan orang Melayu di pekan Simpang Empat. Dia memulakan perniagaannya dengan berjual beli ikan basah yang dibawa oleh nelayan setiap hari. Kemudian, dia menjaja barang-barang runcit di kampung-kampung dan Cing Huat juga diajarnya berniaga. Kim Lock dan Cing Huat rajin bekerja dari pagi hingga malam. Dalam jangka masa beberapa bulan sahaja, kedai mereka itu menjadi kedai runcit yang lengkap. Di samping itu, Kim Lock tidak lupa untuk menghantar wang ke desanya setiap bulan selepas memiliki kedai runcit itu. Hubungan antara Kim Lock dengan Kim Sui pula terus berjalan dengan baik dan Kim Lock berniat untuk mengahwinkan Cing Huat dengan anak perempuan tiri Kim Sui yang bernama Lim Tua Tao.
 
4.
Kim Lock sudah berumur lebih empat puluh tahun dan dia sudah mempunyai wang yang banyak. Walau bagaimanapun hasratnya untuk membawa isterinya dari desa masih belum tercapai. Kim Lock telah diperkenalkan oleh Kim Sui dengan seorang perempuan Cina yang bernama Mei Hwa yang suka menghisap madat. Kim Lock juga sudah mula menghisap candu dan dia membeli udutan candu, lampu, dan candu untuk dibawa ke kedainya di Simpang Empat. Hal ini menyebabkan Cing Huat terkejut dan kecewa kerana tidak menyangkakan ayahnya yang anticandu itu sudah menjadi tahi candu pula. Tubuh Kim Lock yang tegap dan berisi sudah menjadi semakin kurus dan dia tidak menghiraukan urusan kedainya lagi. Cing Huat meminta bantuan Kim Sui untuk menasihati bapanya supaya berhenti daripada menghisap candu. Akan tetapi, Kim Sui mengatakan orang yang ketagih candu memang tiada ubatnya. Selepas itu, Kim Lock membawa Mei Hwa tinggal bersama-sama dengannya di Simpang Empat.

Cing Huat pula mendapat berita tentang kematian ibunya di desa dua bulan lepas melalui surat yang dibaca oleh Ah Kun. Bapanya tidak menghiraukan berita kematian isterinya itu malahan memarahi Cing Huat pula kerana dia sedang menghisap candu. Cing Huat terkejut dengan perubahan yang ditunjukkan oleh Mei Hwa pada pagi esoknya dan dia membuat persiapan untuk memberikan persembahan kepada ibunya itu. Kim Lock tidak mahu memakai toha tetapi Cing Huat dan Mei Hwa memakai baju berkain hitam. Cing Huat kemudiannya berkahwin dengan Tua Tao dan majlis perkahwinan itu diadakan mengikut adat resam orang Cina. Selepas sebulan perkahwinan mereka, ayah Cing Huat meninggal dunia dan tidak lama selepas itu, Tua Tao pula menemui Mei Hua yang sudah meninggal dunia di dalam tandas di belakang kedai mereka.
 
5.
Orang-orang Cina bermesyuarat untuk mendirikan sekolah mereka sendiri dan Cing Huat mendermakan wangnya sebanyak lima ratus ringgit. Setelah sekolah Cina itu siap, tiga orang anak Cing Huat menjadi murid yang pertama di sekolah itu. Cing Huat berasa gembira kerana anak-anaknya sudah tahu menulis dan membaca walaupun dia tidak bersekolah. Dia mahu anak-anak dan cucunya nanti mengamalkan budaya nenek moyangnya dan dia menggalakkan mereka menggunakan barang-barang dari negara China. Pada masa itu pula peperangan sudah tercetus, dan orang-orang Jepun menyerang daratan negara China dan menakluki beberapa buah kota besar di sana. Perkara ini menyebabkan cita-citanya untuk pulang ke negara asalnya tidak menjadi kenyataan. Cing Huat mahu anak-anaknya menjadi orang yang pandai dan dia tidak suka akan anaknya, Yew Seng yang suka berkawan dengan anak-anak orang Melayu kerana dia bimbang kalau anaknya itu juga akan menjadi malas seperti mereka.

6.
Pada suatu hari Cing Huat memarahi Yew Seng kerana dia masih berkawan dengan anak-anak Melayu. Cing Huat mengatakan bahawa dia tidak suka anak-anaknya mengikut anak-anak Melayu itu kerana mereka malas dan tidak tahu mencari wang. Dia berasa puas hati dengan perniagaannya yang semakin maju dan kedainya bertambah besar berbanding dengan kedai-kedai lain. Dia menjual pelbagai jenis barang seperti perkakas dapur, perkakas rumah, perkakas pertanian, ikan basah dan sayur-sayuran. Cing Huat berasa gembira apabila melihat Yew Seng sudah berubah pada hari itu kerana dia sudah rajin membaca buku. Poh Eng pula rajin membantu ibunya mencuci pinggan mangkuk di samping mengambil air bersih dari paip di tepi jalan.

7.
Poh Eng merupakan anak yang rajin bekerja, iaitu selepas menolong ibunya, dia mengambil sulamannya dan menyulamnya dengan tekun. Sementara itu, Yew Seng pula teringat akan hubungannya dengan orang-orang Melayu lebih erat, terutamanya dengan Lazim. Sebagai buktinya, dia berasa seperti dirinya yang dipukul sama kalau Lazim dipukul orang dan dia sanggup berkorban untuk membela Lazim jika keadaan memaksanya. Pada masa itu juga, Seman datang ke kedai Cing Huat dan menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana terpaksa keluar dari rumahnya itu.

Cing Huat sebenarnya sudah melantik Pak Cin menggantikan tempat Pak Musa sebagai orang tengahnya. Kadir, anak Pak Cin itu pula akan disuruh tinggal di rumah yang akan ditinggalkan oleh Seman. Pada malam itu Cing Huat memarahi anaknya, Yew Seng kerana anaknya itu mengatakan bahawa dia telah bertindak dengan kejam terhadap Seman. Yew Seng menjelaskan bahawa bapa Seman sudah banyak berjasa kepada bapanya itu. Oleh itu, bapanya itu perlu berperikemanusiaan sedikit terhadap Seman. Perkara itu menyebabkan Cing Huat semakin marah dan menampar muka anaknya itu dengan sekuat-kuat hatinya. Kemudian, isterinya turun dari loteng dan bertindak untuk meleraikan suaminya itu. Cing Huat seterusnya bertindak menghalau Yew Seng dari rumahnya itu. Kemudian, isterinya memujuk Yew Seng dan mengajaknya tidur di atas loteng. Cing Huat memarahi anaknya itu kerana Yew Seng menyebelahi orang Melayu dan dia mahu Yew Seng meninggalkan rumahnya itu pada esok harinya juga.

0 comments:

Post a Comment