Wednesday 6 April 2011

TOPIK PENTING KERTAS 1 - SPM: BERJIMAT SEBELUM TERLAMBAT, BERINGAT SEBELUM TERKENA - AWAS PERANGKAP KAD KREDIT!

Mereka yang tergolong dalam umur 30-an dianggap masih muda dan dianggap kaya tetapi jelas miskin dalam hal menguruskan kewangan mereka. Pada usia muda mereka sekitar 30-an, mereka sudah begitu sarat dengan hutang dan mereka terpaksa mencari bantuan profesional untuk keluar dari belenggu hutang dan kebankrapan mereka.

Badan Kredit Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK), telah memberitahu bahawa 15% daripada lebih dari 39,600 orang yang telah mendaftarkan diri ke dalam program pengurusan hutang AKPK adalah dari mereka yang berada di bawah usia 30 tahun. Perkara ini boleh berlaku apabila banyak daripada golongan muda ini tadi terpalit dalam kancah ini akibat kurang memahami risiko penggunaan kad kredit, hutang peribadi, lebihan belanja dan gagal untuk mengamati peraturan-peraturan asas dalam pengurusan kewangan yang sihat.

Menurut AKPK, jika seseorang mengamalkan konsep pembayaran bulanan hutang mereka tidak melebihi 40% daripada pendapatan bersih bulanan mereka maka mereka akan mampu menguruskan kewangan dengan lebih baik dan teratur. Namun generasi muda ini seolah-olah hanyut dalam trend penggunaan kad kredit dan mengejar status kebendaan yang akhirnya hanya akan membinasakan mereka.

Sebagai permulaan, jika kita boleh mengurangkan perbelanjaan sebanyak 5% seminggu, maka kita boleh menyimpan sejumlah 20% lebihan pada akhir setiap bulan bulan dan akhirnya pada penhujung tahun kita telah berjaya menambahkan 240% penjimatan dalam perbelanjaan kita semua! Amalan sebegini akan membantu kita semua untuk menjadi individu yang arif dalam hal mengurus kewangan peribadi dan juga keluarga.

Mengikut statistik Bank Negara Malaysia, bahawa 50% daripada pemegang kad kredit yang telah di isytiharkan muflis adalah terdiri daripada individu berumur di bawah 30 tahun. Menurut undang-undang Kebankrapan 1967, tindakan muflis boleh digunakan terhadap mana-mana individu yang gagal membayar hutang bermula daripada jumlah RM30, 000.

Setelah disenaraikan muflis ternyata hidup akan menjadi sangat rumit kerana nama mereka akan termasuk kedalam senarai hitam di Pusat Rujukan Sistem Maklumat Kredit (CCRIS). Melalui sebaran maklumat data-induk CCRIS ini semua aplikasi mereka untuk pinjaman akan secara automatik ditolak.

Orang golongan dewasa muda adalah yang paling mudah terjebak ke dalam kancah hutang kerana mereka hidup di luar kemampuan mereka. Ketika mereka ini baru mula keluar bersosial setelah mendapat pekerjaan tetap, mereka sangat mudah dipengaruhi oleh gaya hidup teman-teman yang lain.

Mereka umumnya tidak menguruskan hal kewangan mereka dengan baik, mereka tidak merasakan sedikit pun mencubit ketika kad-kad kredit mereka bergeseran ketika membuat pembelian mereka, tetapi mereka akan merasa sakit dan azab pada akhir bulan.

Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, masyarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan bertanggungjawab kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu juga jaminan kewangan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata pepatah, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

0 comments:

Post a Comment