Wednesday 27 April 2011

PERBINCANGAN KARANGAN SPM

Tajuk: Negara maju acuan Malaysia memerlukan rakyat yang:
·         Bersatu padu
·         Berakhlak mulia
·         Berilmu pengetahuan
·         Bersemangat patriotik
·         Berpegang teguh kepada ajaran agama

Berikan ulasan anda.

Tanggal 21 Februari 1991, bertempat di perasmian Majlis Perdagangan Malaysia, tercatatlah satu lagi peristiwa dalam lembaran Hari Ini Dalam Sejarah. Peristiwa penting itu ialah Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu Dato Seri Dr Mahathir Mohamad telah meuar-uarkan satu ilham yang begitu pragmatik iaitu WAWASAN 2020.  Gagasan yang mempunyai sembilan mekanisme cabaran itu menjadi acuan utama ke arah membentuk negara dan rakyat Malaysia yang progresif, berdaya saing, berilmu pengetahuan, dan mempunyai daya tahan yang tinggi bagi menghadapi era maju menjelang abad ke-21.  Antara intipati daripada sembilan cabaran itu adalah untuk membentuk sebuah negara maju dalam acuan Malaysia iaitu negara dengan rakyat yang bersatu padu, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bersemangat patriotik dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Sesungguhnya, saya amat bersetuju kelima-lima unsur ini sudah pasti menjadi cabaran besar untuk kita galas jikalau mahukan negara tercinta ini bertukar wajah menjadi negara maju seperti yang dicita-citakan.  Oleh itu, bersama-samalah kita menggemblengkan tenaga dan fikiran untuk merealisasikan gagasan tersebut.

Peribahasa Melayu ada menyatakan, bersatu teguh, bercerai roboh dan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.  Hal demikian menjelaskan, bahawa kehidupan kita sebagai suatu bangsa Malaysia menuntut kepada suasana ukhuwah dan bersatu padu.  Bersatu padu dalam konteks rakyat Malaysia membawa maksud hidup dalam suasana aman, harmoni, bertolak ansur, dan bekerjasama dalam masyarakat majmuk.  Suasana tersebut amatlah penting bagi mengelak berulang semula tragedi-tragedi ngeri yang menumpahkan darah seperti Peristiwa 13 Mei 1969 dan pergaduhan antara kaum di Kampung Medan pada tahun 2000.  Peristiwa-peristiwa seumpama itu sesungguhnya akan menebalkan lagi rasa syak wasangka dan turut memperdalam jurang ketegangan antara kaum.  Sepatutnya kita mesti menerima hakikat bahawa kita ditakdirkan hidup dalam pelbagai etnik dengan pelbagai ragam budaya.  Warasnya, atas rasa cinta kepada nusa dan demi mengidami keamanan kita hendaklah menjelmakan satu semangat bersatu dengan slogan, “Negara Kita Tanggungjawab Kita.” 

Imam al-Ghazali pernah menyatakan, ‘Apabila kamu hendak mengenal wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenal diri (peribadi) bercerminlah pada wajah.”  Kata-kata tersebut memberikan gambaran betapa keperibadian dan akhlak yang mulia akan menjadi pengukur tinggi atau rendah harga diri setiap individu.  Sejajar dengannya, setiap rakyat perlulah menonjolkan suatu imej yang terpuji dengan ,mengamlkan akhlak yang mulia.  Akhlak mulia merupakan intisari kepada nilai-nilai murni yang sejagat dan amat dituntut sama ada dari sudut budaya dan peradaban malahan dituntut di sisi agama juga.  Nilai tersebut bermatlamat membentuk insan yang seimbang dalam aspek mental, emosi, intelek, dan jasmani.  Dengan terbentuknya nilai-nilai tersebut, justeru akan lahirlah warga Malaysia yang berhati mulia, bersopan-santun, dan hormat-menghormati.  Falsafah hidup yang bertunjangkan prinsip-prinsip akhlak seperti ini sudah pasti dapat mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia di samping memantulkan imej masyarakat Timur yang begitu terkenal dengan peradaban yang tinggi.  Oleh yang demikian, jadikanlah budi bahasa sebagai cerminan imej dan nilai budaya masyarakat Malaysia.

Apabila tamadun dunia melangkah masuk ke abad Millenium, tuntutan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan pasti menjadi wahana yang penting dan perlu dikuasai oleh setiap warganegara.  Dengan itu, acuan rakyat Malaysia perlu seiring dengan matlamat membentuk rakyat yang berilmu pengetahuan.  Rakyat yang berilmu pengetahuan ialah rakyat yang bijaksana dengan menguasai segala bidang ilmu sama ada dalam bidang sains dan teknologi dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ketamadunan, agama, dan kemanusiaan.  Langkah ini amatlah pragmatik dalam usaha mewujudkan suatu rupa bangsa Malaysia yang bijak, pintar, mahir, dan menguasai teknologi.  Penguasaan ilmu dalam bidang sains dan teknologi hendaklah menjadi agenda penting negara kerana ilmu tersebut menjadi aset negara berkembang maju dalam aspek fizikal, prasarana, dan pertumbuhan ekonomi yang pesat.  Manakala ilmu-ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai keinsanan pula bermatlamat membentuk rakyat yang mempunyai nilai-nilai murni seperti berjiwa patriotik,  bersopan santun, bertolak ansur dan bersatu padu.  Dengan komponen kedua-dua bidang ilmu tersebut, kita amatlah berharap matlamat WW 2020 akan berjejak di bumi nyata setelah rakyat telah sarat dengan ilmu pengetahuan.

Tokoh nasionalisme Filipina yang terulung, Jose Rizal pernah menyatakan, “Tuhanku, sekiranya aku mati dalam perjuangan ini, biarlah tubuh dan darahku bersemadi menjadi tanah, namun harga perjuanganku akan kuabadikan untuk rakyat Filipina.”  Demikianlah sebuah percaturan hidup dan mati daripada seorang tokoh patriotik atas cintanya terhadap tanah air.  Demi mempertahankan keutuhan dan kedaulatan negara setiap rakyat hendaklah berjiwa patriotik. Semangat tersebut dapat menjanakan jati diri bangsa yang bersemangat waja, cinta akan tanah air, dan rela berkorban demi kedaulatan negara.  Oleh yang demikian, strategi yang paling berkesan adalah dengan menyemaikan semangat patriotisme kepada generasi muda semasa mereka dalam alam persekolahan lagi.  Subjek-subjek yang berkaitan dengan kenegaraan seperti sejarah, pendidikan moral, agama, bahasa dan kesusasteraan perlulah diajar kepada para pelajar.  Selain itu, nilai-nilai hidup bersama dan setia kawan perlulah dipupuk dalam aktiviti kokurikulum dan sukan.  Seandainya, masyarakat Jepun begitu berbangga dengan nilai ‘kaizen’ dan masyarakat Cina dengan nilai ‘kiasu’ mereka, justeru  rakyat Malaysia pula mesti  kuat berpegang dengan falsafah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Strategi seterusnya ialah menyemaikan sifat-sifat taat dan taqwa (patuh) kepada pencipta dengan berpegang teguh kepadaa ajaran agama.  Dengan kesegaran jiwa agama kita dapat membentuk insan syumul yang sentiasa patuh kepada Tuhannya dan setia kepada negara serta pemimpin.  Walaupun rakyat Malaysia bebas menganut agama dan kepercayaan masing-masing, namun kita yakin setiap agama tidak pernah mengajarkan nilai-nilai negatif yang boleh memesongkan penganutnya.  Dengan hal yang demikian, ibu bapa adalah bertanggungjawab untuk menanamkan nilai-nilai benar dan beriman yang terdapat dalam doktrin agama masing-masing.  Insan yang beragama seyogianya akan menjadi insan yang bertanggungjawab, beriman, berakhlak, sentiasa bersyukur serta lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, negara, dan agama.  Bagi memastikan amanah ini terlaksna dengan sebaik mungkin ambillah agama dan moral sebagai landasan hidup kerana “Sebaik-baik manusia dilihat atas agama yang diamalinya”.

Mafhum (maksud) daripada sepotong ayat suci al-Quran yang menyatakan bahawa, “Sesungguhnya, Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubahnya.”  Hal tersebut memberi suatu isyarat bahawa maju atau mundur dan senang atau susah hidup kita amatlah bergantung kepada diri kita sendiri.  Demi mencapai matlamat murni itu kita perlu berusaha gigih dari sekarang dan kita juga perlu ingat kepada slogan, “Negara Kita Tanggungjawab Kita”.

0 comments:

Post a Comment