Wednesday 6 April 2011

PERBINCANGAN: KARANGAN TINGKATAN 3 (TEMA: KESIHATAN)


LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENJAGA KESIHATAN ANDA.

Kesihatan merupakan nikmat Ilahi yang tidak terhingga nilainya dalam kehidupan kita semua. ramai orang yang sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk memastikan kesihatan mereka berada pada tahap yang terbaik. Justeru, sikap mengambil berat tahap kesihatan perlu diamalkan agar kehidupan kita sejahtera.
Langkah utama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang pada setiap hari. Makan makanan yang seimbang dan berkhasiat seperti sayur-sayuran, ikan, daging, buah-buahan, dan sebagainya akan dapat menjamin kesihatan yang baik. Makanan yang berlemak dan berkolesterol tinggi serta makanan yang tinggi kandungan gulanya seharusnya dihindari kerana ini mendedahkan seseorang kepada risiko menghidapi penyakit jantung,kencing manis dan darah tinggi.

Selain itu, kita perlu juga mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti beriadah dan melakukan senaman dan bersukan terutama jika kita tidak melakukan kerja berat. Dengan melakukan senaman yang konsisten dan rajin menjalankan aktiviti-aktiviti rekreasi serta bersukan, maka semua otot kit akan bergerak dan hal ini membolehkannya berfungsi dengan baik. Malah dengan melakukan aktiviti tersebut kita akan dapat mengurangkan ketegangan akibat beban tugas di pejabat atau di sekolah. Seperti yang disiarkan oleh televisyen dan radio, tiga kali seminggu dan 20 minit setiap sesi merupakan peruntukan masa yang paling efektif untuk masyarakat Malaysia menjalankan aktiviti senaman.

Akhirnya ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai rehat dan masa tidur yang cukup. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari selain berehat bagi mengekalkan kesihatan stabil. Orang yang tidak memperolehi rehat yang cukup tidak dapat melakukan kerja-kerja mereka dengan terbaik kemampuan mereka, malah mereka mudah berasa letih dan mudah jatuh sakit. Oleh itu sebaik-baiknya kita disarankan agar memperuntukkan sebanyak 8 jam sehari untuk berehat dan tidur.

Sebagai rumusan, seperti cogan kata “mencegah adalah lebih baik daripada merawat”, setiap daripada kita perlu menjaga kesihatan sendiri dengan terbaik mampu demi masa depan kita dan juga keluarga.

0 comments:

Post a Comment